Prospek pasaran kewangan global dijangka kekal rancak separuh kedua 2026

IPPFA mengekalkan pandangan positif kepada ringgit disokong asas makroekonomi Malaysia yang semakin kukuh

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Prospek pasaran kewangan global dijangka kekal positif pada separuh kedua tahun ini, apabila pelabur terus memberi tumpuan kepada faktor-faktor yang diunjur memacu pertumbuhan jangka panjang.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berpandangan pelabur dijangka memberi tumpuan kepada pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), prestasi pasaran pesat membangun, perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta keselamatan sumber asli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar faedah AS yang tinggi menyokong dolar, mendorong pelabur kekal kepada aset berkualiti tinggi denominasi dolar.
  • Ekonomi pesat membangun dan perkembangan AI akan menarik pelaburan jangka panjang dalam pusat data, awan, utiliti dan infrastruktur digital.
  • IPPFA kekal positif terhadap ringgit namun pengukuhan terhad oleh ketidaktentuan geopolitik, kadar faedah global tinggi dan permintaan aset selamat.

“Kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama akan menyokong dolar AS, sekali gus mendorong pelabur mengekalkan pendedahan kepada aset berkualiti tinggi dalam denominasi dolar.

“Selain itu, ekonomi pesat membangun yang strategik, termasuk pasaran di Malaysia, India, Vietnam, Mexico dan Korea Selatan juga dijangka memperoleh manfaat daripada penyusunan semula rantaian bekalan global,”katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, perkembangan AI juga dijangka terus mendorong pelaburan jangka panjang, khususnya dalam pembangunan pusat data, infrastruktur awan, utiliti, penjanaan elektrik, pemodenan grid dan infrastruktur digital.

Beliau turut berpendapat, aspek keterjaminan sumber asli juga menjadi pemacu penting kepada pelaburan global khususnya peningkatan permintaan kepada mineral kritikal seperti tembaga dan uranium serta pembangunan infrastruktur tenaga.

Sementara itu, mengulas prospek mata wang tempatan, jelasnya IPPFA mengekalkan pandangan positif kepada ringgit disokong asas makroekonomi Malaysia yang semakin kukuh, kedudukan luaran yang stabil serta aliran masuk pelaburan asing yang berdaya tahan.

“Bagaimanapun, keupayaan ringgit untuk kekal di paras bawah 4.00 berbanding dolar AS kekal mencabar, walaupun asas ekonomi domestik terus menunjukkan peningkatan.

”Ketidaktentuan geopolitik, kadar faedah global yang kekal tinggi dan permintaan berterusan terhadap aset selamat dijangka terus mempengaruhi aliran modal antarabangsa, sekali gus mengehadkan pengukuhan ringgit dalam tempoh terdekat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.