KUALA LUMPUR, 10 Mei - Skuad sepak takraw kebangsaan membuka tirai Kejohanan ASTAF Piala Asia dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi kategori double di Stadium Titiwangsa.
Duo juara Piala Dunia ISTAF 2024, Muhammad Noraizat Mohd Nordin selaku tekong dan Aidil Aiman Azwawi di posisi apit kanan, cemerlang menguasai set pertama dengan kemenangan 15-7.
Penampilan sulung Muhammad Redwan Hakim Muhammad di set kedua mengukuhkan permainan negara untuk menoktahkan kemenangan 15-5.
Jurulatih double kebangsaan, Aswadi Abdullah, bagaimanapun mengakui prestasi pemain masih belum mencapai tahap terbaik meskipun keputusan berpihak kepada Malaysia, sambil menyifatkan ia sebagai proses penyesuaian awal.
"Masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dari segi pukulan dan servis. Ini akan jadi fokus utama menjelang aksi seterusnya," katanya..
Beliau turut memuji peningkatan ditunjukkan Redwan Hakim yang diberi peluang menyerlah di pentas antarabangsa.
Malaysia dijadual menentang Thailand malam ini, dengan barisan muda lawan itu disifatkan Aswadi sebagai berpengalaman dan berpotensi tinggi.