ABIDJAN, 15 Januari- Mohamed Salah menjadi penyelamat kepada Mesir daripada berdepan kekalahan memalukan pada aksi Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berdepan Mozambique, mengikat keputusan seri 2-2 hingga tamat perlawanan.
Aksi yang berlangsung di Stadium Felix Houphouet Boigny, di ibu negara ekonomi Ivory Coast menyaksikan tirai jaringan dibuka seawal minit ke- 2 menerusi Mostafa Mohamed.
Mozambique menyamakan kedudukan menerusi tandukan Witiness Quembo pada minit ke-55 dan pemain gantian, Clesio Bauque meledak untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada tiga minit kemudian.
Bagaimanapun, Mesir dihadiahkan sepakan penalti menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) tujuh minit sebelum memasuki masa kecederaan.
Salah menyempurnakan penalti itu selepas Mostafa Mohamed dikasari sekali gus menafikan Mozambique untuk menang ke atas bekas juara AFCON tujuh kali itu.
“Saya mahu memenangi setiap perlawanan yang saya mainkan dan apabila kami tidak menang saya sedih, tetapi tiada perlawanan mudah."
"Kami bukan pasukan terbaik sebelum undian dibuat dan kami bukan yang paling teruk sekarang,” kata jurulatih Mesir, Rui Vitoria.
“Saya sedih melihat pemain saya hancur, kami berhak menang,” kata jurulatih Mozambique, Chiquinho Conde.
Mozambique tidak memenangi sebarang perlawanan dalam empat penampilan terakhir di AFCON dan rekod kekalahan mereka kini merangkumi 13 perlawanan secara keseluruhan.
Sementara itu, Ghana tewas mengejut 2-1 kepada Cape Verde.
Skuad The Black Stars kelihatan kembali dengan momentum baharu selepas Alexander Djiku menanduk masuk bola pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan, yang dijaringkan oleh Jamiro Monteiro pada babak pertama.
Namun, Cape Verde yang agresif menerkam pertahanan lemah Ghana memuktamadkan permainan dengan gol saat akhir menerusi pemain gantian, Garry Rodrigues.
Gol emas pada minit ke-92 itu mengejutkan lebih 12,000 penyokong Ghana.
"Kami mahu menunjukkan kepada dunia apa yang boleh kami lakukan. Meski kami kecil tetapi kami boleh bersaing mengikut syarat bola sepak bersama semua pasukan di Afrika," kata jurulatih Cape Verde, Pedro 'Bubista' Brito.- AFP