
KUALA PERLIS, 20 Julai – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyiapkan lima projek perumahan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Perlis tahun ini dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM228,000.
- Dua rumah bina baharu siap di Kampung Tanah Timbul dan Kampung Padang Besar Selatan, masing-masing dengan kos RM84,000 seunit.
- Tiga unit rumah dibaik pulih dengan peruntukan RM20,000 bagi setiap unit.
- Kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk pelaksanaan PKPN seluruh negara bagi memperkukuh kebajikan dan penyediaan perumahan kepada komuniti nelayan berpendapatan rendah.
Ia melibatkan dua unit rumah bina baharu dan tiga unit rumah yang dibaik pulih.
Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata kedua-dua rumah bina baharu itu dibina di Kampung Tanah Timbul, Kuala Sanglang dan Kampung Padang Besar Selatan, di sini, masing-masing dengan kos RM84,000 seunit.
Manakala kerja baik pulih rumah melibatkan peruntukan RM20,000 bagi setiap unit.
“Semua sasaran pelaksanaan PKPN bagi Perlis untuk tahun ini telah berjaya disiapkan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti nelayan yang layak memiliki kediaman lebih selesa dan selamat,” jelasnya.
Beliau menyatakannya ketika ditemui media selepas menyerahkan kunci rumah kepada penerima PKPN di Kampung Padang Besar Selatan di sini.
Terdahulu, beliau turut menyerahkan sebuah rumah bina baharu kepada penerima di Kampung Sanglang.
Beliau menambah, kerajaan menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pelaksanaan PKPN di seluruh negara tahun ini.
“Pelaksanaan PKPN merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memperkukuh kebajikan komuniti nelayan melalui penyediaan perumahan yang berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah,” menurut beliau lagi.