KUALA LUMPUR, 3 Mei - Penyerang muda Azimuddin Syakir Kamaruddin, 19, dan bekas penjaga gol skuad remaja Che Sharul Azmi Che Saupi, 23, merupakan dua muka baharu dalam skuad senior Speedy Tigers bagi menggalas cabaran negara pada kejohanan hoki PIala Sultan Azlan Shah (PSAS).
Kedua-dua pemain tersebut mendapat kepercayaan Ketua jurulatih Sarjit Singh dalam skuad senarai 18 pemain yang diumumkan malam ini bagi menghadapi kejohanan tersebut bermula di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Sabtu ini.
Sarjit, yang baru dilantik Mac lalu, berkata pemilihan skuad akhir itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk prestasi semasa pemain, komitmen serta pemahaman konsep yang diterapkan pasukan.
“Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda bersama pemain senior dapat dibentuk dengan cepat dan pasukan ini menjadi lebih matang secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.
“Diharap pemain dapat memberikan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan yang tinggi serta sikap yang baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung," katanya menerusi kenyataan yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) malam ini.
Malaysia, selaku juara bertahan, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan Sabtu ini diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).
Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga. - BERNAMA