Harimau Selatan intai kelebihan awal di Stadium Sultan Ibrahim

 

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT mesti mengekalkan fokus tinggi dalam kawalan permainan, bertahan dan menyerang, serta memberi tekanan seawal minit untuk dapat kelebihan awal.
  • Tidak terikat keputusan lalu; hormat lawan tetapi tidak gentar, beraksi di hadapan penyokong sendiri meningkatkan keyakinan, fokus penuh.
  • Buriram menghormati lawan, telah membuat persiapan rapi, meningkatkan kesiapsiagaan melalui latihan dan merancang corak permainan menyerang.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz (kiri) dan Matthew Davies (kanan)/RTM

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei – Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Buriram United FC dijangka berdepan perlawanan sengit dalam aksi separuh akhir pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Kedua-dua pasukan telah membuat persiapan rapi bagi merebut kelebihan untuk dibawa ke aksi separuh akhir kedua.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, berkata pemain Harimau Selatan perlu mengekalkan fokus yang tinggi, khususnya dalam mengawal permainan ketika bertahan dan menyerang.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memberi tekanan kepada pihak lawan seawal minit permainan bagi mendapatkan kelebihan awal.

“Saya percaya pasukan sudah bersedia dan telah mempamerkan prestasi yang baik dalam perlawanan sebelum ini. Jadi, saya yakin kami mampu menampilkan aksi terbaik esok.

“Sudah tentu kami akan berdepan lawan yang kuat, namun itu menuntut kami untuk memberikan persembahan terbaik. Paling penting, kami memiliki peluang keemasan, dan kami perlu memanfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Bek Kanan JDT, Matthew Davies berkata, keputusan terdahulu perlawanan JDT menentang Buriram United FC, tidak mencerminkan prestasi
terkini Harimau Selatan.

“Kami menghormati mereka, namun tidak gentar untuk berdepan. Tambahan pula, beraksi di hadapan penyokong sendiri meningkatkan keyakinan kami.

“Kami tidak akan terlalu memikirkan keputusan lalu, sebaliknya akan kekal fokus sepenuhnya untuk perlawanan esok malam,” jelas Davies

Ketua Jurulatih Buriram United FC Mark Jackson pula berkata, penting untuk mereka memahami bahawa lawan yang bakal dihadapi merupakan pasukan yang kuat,

“Kami menghormati mereka. Kami telah membuat persiapan rapi dan akan terus meningkatkan kesiapsiagaan melalui sesi latihan.

“Kami mengharapkan keputusan yang positif, sebagaimana yang ditampilkan dalam perlawanan sebelum ini. Kami juga yakin dengan kemampuan sendiri dan merancang untuk menampilkan corak permainan menyerang pada aksi esok malam,” katanya.