DOHA, 29 Januari- Peserta sulung Piala Asia, Tajikistan berjaya mara ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menerusi penentuan sepakan penalti 5-3, pada aksi awal pagi tadi.
Penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov menafikan sepakan penalti kedua UAE oleh Caio Canedo untuk menimbulkan sedikit kegembiraan sebelum Alisher Shukurov menyempurnakan sepakan penalti terakhir.
Skuad The Crown yang dikendali Croat Petar Segrt membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi pemain tinggi lampai, Vakhdat Khanonov sebelum jaringan penyamaan hadir sebelum tamat permainan pada minit ke-95 oleh Khalifa Al-Hammadi.
Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, keputusan seri itu kekal hingga tamat 120 minit permainan dan penentuan penalti menjadi medan pertarungan terakhir buat kedua-dua pasukan.
Tajikistan selepas ini akan berdepan sama ada Jordan atau bekas juara 2007, Iraq untuk aksi suku akhir.
Sementara itu, Indonesia akur dengan kehebatan Australia selepas tewas 0-4 dalam aksi pusingan 16 Piala Asia Qatar 2023.
Skuad Socceroos tampak mudah mendominasi permainan dan anak buah Graham Arnold terus memanfaatkan peluang yang terhidang, jaringan demi jaringan.
Dua gol pada separuh masa pertama, gol sendiri yang tertampan pada minit ke-12 dan tandukan Martin Boyle sebelum wisel rehat dibunyikan.
Skuad Garuda yang dilihat cuba bangkit pada babak kedua bagaimanapun gagal, selepas dihukum lagi dengan jaringan Craig Goodwin pada minit ke-89 dan gol penutup Harry Soutar pada masa kecederaan.
Keputusan perlawanan kekal memihak kepada Australia hingga wisel penamat, 4-0.
Australia bakal membuat perhitungan di peringkat suku akhir bertemu sama ada Korea Selatan atau pasukan Roberto Mancini, Arab Saudi.- AFP