
NEW YORK, 25 Julai – Pemenang pingat emas Olimpik, Noah Lyles merangkul gelaran ketiga acara 100 meter kebangsaan Amerika Syarikat dengan catatan masa terpantas dunia musim ini, 9.79 saat, pada Kejohanan Olahraga Amerika Syarikat.
- Lyles tertinggal pada permulaan lalu pecut hebat 30 meter terakhir untuk menewaskan Ronnie Baker.
- Ronnie Baker dan Kenny Bednarek kedua-duanya catat 9.88 saat; Bednarek tempat ketiga, Christian Coleman keempat dengan 9.93.
- Sha'Carri Richardson raih gelaran kebangsaan ketiga 100m dengan 10.77 saat, kata dia kini sihat mental, fizikal dan emosi.
Lyles, yang ketinggalan pada permulaan perlumbaan, melakukan pecutan hebat dalam 30 meter terakhir untuk mencatat kemenangan meyakinkan ke atas pelari berpengalaman Ronnie Baker, yang mengetepikan Kenny Bednarek bagi meraih tempat kedua.
Kedua-duanya mencatat masa 9.88 saat, namun Bednarek terpaksa berpuas hati di tempat ketiga, manakala bekas juara dunia Christian Coleman jatuh ke tempat keempat dengan catatan 9.93 saat.
Sementara itu, juara dunia 2023 dan pemenang pingat perak Olimpik 2024, Sha’Carri Richardson, mencatat masa 10.77 saat (angin 0.9 meter sesaat) untuk meraih gelaran kebangsaan ketiganya dalam acara 100 meter.
Pelari berusia 26 tahun dari Texas itu, yang melalui musim 2025 yang sukar apabila gagal menaiki podium ketika mempertahankan gelaran dunia acara 100 meter, meninggalkan rakan sepasukannya, Kayla White, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 10.90 saat.
Tamari Davis pula menduduki tempat ketiga dengan masa 11.00 saat.
“Rasanya sangat luar biasa dapat kembali berada di tahap yang lebih baik, sihat dari segi mental, fizikal dan emosi.
“Segala yang saya dan jurulatih usahakan kini mula menunjukkan hasil secara konsisten,” kata Richardson.
Lyles dan Richardson sebelum itu turut mempamerkan prestasi pantas pada peringkat separuh akhir dengan dibantu oleh tiupan angin.
Lyles mencatat masa 9.76 saat dengan bantuan angin 2.1 meter sesaat, hanya sedikit melepasi had yang dibenarkan iaitu 2.0 meter sesaat.
Richardson pula mencatat masa terpantas separuh akhir wanita, 10.78 saat, yang kelihatan dicapai dengan cukup mudah meskipun dibantu tiupan angin belakang pada kelajuan 2.6 meter sesaat. – AFP