fb fb fb fb fb

Pengurus Besar Perak FC letak jawatan

Foto Facebook NeowChooSeong

IPOH, 23 Disember-Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong mengumumkan peletakan jawatan dalam pasukan itu berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran di akaun facebook miliknya pada Isnin.

Neow berkata sepanjang diberi kepercayaan menyandang jawatan tersebut ia telah memberi ruang dan peluang kepadanya untuk lebih memahami isu serta masalah industri bola sepak tempatan dengan lebih dekat.

Sejak awal pembabitannya bersama Perak FC pada 2023, tanggungjawab dan fokus ketika itu lebih tertumpu kepada pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi.

Antara programnya adalah Pusat Latihan Daerah , ‘Grassroots Playday Festival’, Piala Cheetah dan Piala XOX.

Beliau juga optimis Perak mempunyai ramai bakat muda serta berharap pengurusan Perak FC akan terus memberi kepercayaan dan peluang kepada bakat muda yang dilahirkan.

Sementara itu,turut meninggalkan Perak FC ialah pemain kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm dan pemain import dari Serbia, Luka Milunovic.

Ini selepas kontrak mereka yang tamat pada 31 Disember ini tidak lagi disambung.

Perlawanan Perak FC menentang Sri Pahang FC ketika suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad lalu merupakan aksi terakhir mereka bersama pasukan.

Nyholm menyifatkan perjalanan bersama Perak FC sejak tahun 2023 sesuatu yang sangat bermakna dan amat menghargai sokongan peminat.

Milunovic pula akui berbangga menjadi pemain Perak FC dan menghargai segala bantuan diterima sepanjang bersama pasukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD