fb fb fb fb fb

Pau Marti Vicente Ketua Jurulatih baharu Harimau Malaya

Pau Marti Vicente

PETALING JAYA, 22 Ogos - Pau Marti Vicente sah menjadi pengendali skuad Harimau Malaya sehingga Disember depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata pelantikan berkuat kuasa hingga kempen Piala AFF 2024.

Sebelum ini, Vicente diumum selaku pemangku selepas Kim Pan Gon melepaskan jawatannya.

"Pihak pengurusan FAM telah membuat penstrukturan semula kontrak semasa Pau Marti dan bersetuju untuk beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih sehingga selesai kempen AFF 2024.

"Kedudukan sama ada Pau Marti akan diberi tanggungjawab ketua jurulatih akan diputuskan kemudian oleh pihak pengurusan FAM berdasarkan situasi semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman skuad Harimau Malaya ke Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM, di sini pada Rabu.

Sementara itu, Vicente berkata beliau akan menggalas tanggungjawab tersebut seperti mana kepercayaan yang diberikan FAM kepada beliau.

"Saya gembira untuk menerima cabaran ini. Saya menghargai kepercayaan yang diberi oleh FAM terutama Presiden terhadap kemampuan saya dan percaya dengan projek ini," katanya.

Juan Torres Garrido turut dilantik sebagai penolong ketua jurulatih kepada Vicente sepanjang kempen antarabangsa nanti.

Dalam pada itu, Vicente menyenaraikan 26 pemain bagi menghadapi Pestabola Merdeka edisi ke-43, 4 September ini.

Beliau mengekalkan 18 pemain ketika kempen Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, namun tidak menyenaraikan Faisal Halim.

Lapan pemain disenaraikan semula antaranya Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Darren Lok dan Syafiq Ahmad.

Kami gembira dengan barisan pemain ini. Kami percaya mereka pilihan terbaik untuk mencapai sasaran.

"Semestinya kami perlukan pemain berpengalaman namun dalam masa sama kami juga perlukan pemain muda untuk belajar dan bersedia bila diperlukan," katanya.

Vincent berkata kesemua pemain akan mula mengikuti kem latihan pusat pada 29 Ogos ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN