fb fb fb fb fb

Para Sukma ke-21: Labuan sasar 17 pingat keseluruhan

majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung di Ujana Kewangan.

LABUAN, 15 September – Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan kini bersedia menghadapi cabaran besar dalam Kejohanan Temasya Para SUKMA ke-21 Sarawak dengan menyasarkan 17 pingat keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail, yakin bahawa sasaran empat pingat emas menerusi acara olahraga 100 meter, renang gaya bebas 50 dan 100 meter, serta Boccia akan berjaya dicapai.

"Saya percaya dan yakin, sasaran empat emas ini adalah sasaran yang akan dicapai oleh Wilayah Persekutuan Labuan.

"Seramai 33 atlet bersama 22 pegawai pengiring dan jurulatih akan menggalas tanggungjawab membawa pulang kejayaan buat Labuan," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan yang berlangsung di Ujana Kewangan.

Kontinjen Labuan menyasarkan 17 pingat keseluruhan, yang terdiri daripada empat pingat emas, empat perak, dan sembilan gangsa dalam lapan jenis sukan yang akan disertai, termasuk olahraga, ping pong, ten pin bowling, lawn ball, renang, powerlifting, badminton, dan boccia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mahanum Fauzi, yang juga merupakan Chef De Mission kontinjen, turut meletakkan keyakinan kepada atlet baharu yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam latihan.

"Berdasarkan prestasi semasa latihan, atlet-atlet baharu ini menyaingi pemenang pingat emas yang lepas. Walaupun mereka baharu, pencapaian mereka sangat memberangsangkan, sebab itu kita yakin dengan sasaran emas," katanya.

Para Sukma ke-21 Sarawak akan berlangsung dari 22 hingga 28 September ini.

Acara berprestij itu akan diadakan di Kuching, Sarawak, yang melibatkan 15 kontinjen dari seluruh Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN