KULIM, 15 Oktober - Pelumba Alpecin-Deceuninck Lionel Taminiaux menjuarai peringkat kelima saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Kuala Kangsar ke Kulim, hari ini.
Pelumba Belgium berusia 26 tahun itu menamatkan saingan sejauh 172 kilometer (km) dengan catatan 3 jam 41 minit 42 saat.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Belanda Julius Van Den Berg dari pasukan EF Education-Easypost sementara tempat ketiga milik pelumba Australia Carter Bettles mewakili Ara Pro Racing Sunshine Coast.
(FOTO BERNAMA)
“Ia satu perjudian untuk melakukan pecutan terakhir secara solo dan pada 15 meter terakhir saya mengawal kayuhan dengan baik untuk muncul juara.
“Ia memang sukar tapi semuanya berjalan lancar. Walaupun kami berpeluang muncul juara sejak peringkat pertama lagi, begitu juga peringkat kedua. Semalam, Jakub Mareczko (rakan sepasukan) menang. Hari ini saya mengambil peluang dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff mengekalkan Jersi Merah (Raja Bukit) biarpun berkongsi 29 mata dengan rakan sepasukannya Jambaljamts Sainbayar yang menawan zon pendakian di Bukit Sumpitan.
Jersi Putih (Pelumba Asia Terbaik) pula bertukar menjadi milik Sainbayar, manakala pelumba Movistar Team Max Kanter merampas Jersi Hijau (Raja Pecut) selepas menawan dua zon pecutan di Selama dan Karangan.
Jersi Kuning pula kekal milik Ivan Ramiro Sosa Cuervo dari Moviostar Team.
Peringkat keenam LTdL 2022 esok membabitkan jarak sejauh 120.4km dari Georgetown ke Alor Setar dengan tiga zon pecutan di Jambatan Pulau Pinang, Bagan dan Sungai Petani. - BERNAMA