BILBAO, 5 Disember-Bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, terus menjadi perhatian selepas gagal menyempurnakan penalti kedua dalam tempoh seminggu, ketika juara bertahan La Liga itu mengalami kekalahan 2-1 kepada Athletic Bilbao pada Rabu.
Ini merupakan kekalahan keempat Real dalam tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan.
Pada perlawanan tersebut Athletic Bilbao mendominasi permainan separuh masa pertama, memaksa Real Madrid berhempas-pulas bertahan tanpa sebarang gerakan berbahaya di bahagian serangan.
Madrid menamatkan babak pertama tanpa sebarang percubaan tepat ke arah gol.
Selepas hampir dua bulan tanpa kekalahan, Athletic Bilbao akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-53 menerusi jaringan jarak dekat Alex Berenguer.
Real Madrid berpeluang menyamakan kedudukan apabila Antonio Ruediger dijatuhkan dalam kotak penalti 15 minit kemudian.
Mbappe sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan penalti dengan sepakan lemah yang mudah ditepis penjaga gol Bilbao, Julen Agirrezabala.
Meskipun ketiadaan beberapa pemain utama seperti Vinicius Jr, Dani Carvajal, Eder Militao, dan Eduardo Camavinga akibat kecederaan, Real Madrid berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78 menerusi rembatan Jude Bellingham hasil bola muntah daripada percubaan Mbappe.
Namun, hanya seminit kemudian, kesilapan Federico Valverde yang menghadiahkan bola kepada Gorka Guruzeta, menyebabkan penyerang berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan Bilbao, menewaskan penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois.
Sementara itu,kegagalan Mbappe menyempurnakan penalti di Bilbao menjadikannya pemain La Liga dengan jumlah tertinggi gagal menyudahkan sepakan penalti musim ini.
Mbappe hanya menyempurnakan tiga daripada lima sepakan penalti.
Prestasinya juga terus menjadi tanda tanya, dengan hanya tujuh daripada 10 gol dijaringkan untuk Real Madrid musim ini.
Mbappe, yang tiba untuk memperkukuhkan skuad Real Madrid selepas kejayaan musim lalu dalam LaLiga dan Liga Juara-Juara, kelihatan bergelut bagi menyesuaikan diri dengan pasukan.
Kekalahan tersebut menyebabkan Real Madrid gagal merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Barcelona, yang kini mengumpul 37 mata, empat mata di depan Real Madrid yang masih mempunyai satu perlawanan di tangan.
Manakala Athletic Bilbao pula menduduki tempat keempat dengan 29 mata.-REUTERS.