fb fb fb fb fb

Kesihatan mental 26 atlet penting, galas cabaran negara ke Paris 2024

Ahli Lembaga Institut Sukan Negara, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Kesihatan mental menjadi persediaan paling penting buat 26 atlet negara yang menggalas cabaran pada Sukan Olimpik 2024.

Menurut Ahli Lembaga Institut Sukan Negara, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin, sasaran satu pingat emas tidak akan memberi tekanan buat 10 atlet yang berada program Road To Gold (RTG).

Beliau turut yakin persediaan aspek psikologi, mental dan fizikal menerusi RTG bakal diterjemahkan menerusi persembahan membanggakan untuk negara.

Kongsinya, pelbagai langkah proaktif dilaksana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejurus tamatnya temasya Sukan Olimpik Tokyo 2021.

"Kesemua 26 atlet ada potensi untuk menang kerana program RTG ambil kira semua aspek termasuk mental dan motivasi atlet. Kesemuanya dibuat secara holistik,"katanya.

Tambahnya, atlet negara memerlukan sokongan positif daripada seluruh rakyat untuk menggalas tanggungjawab besar membawa nama negara pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengguna media sosial khususnya dinasihatkan untuk tidak memuat naik sebarang hantaran atau komen jelik yang boleh mengganggu dan memberi tekanan terhadap kontinjen negara.

Nashrudin berkata demikian ketika menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE