
KLUANG, 11 Julai -Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi antara yang terawal mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Renggam pagi ini.
- Datuk Onn Hafiz, Menteri Besar Johor, tiba kira-kira pukul 8.10 pagi berpakaian putih dan bersongkok.
- Beliau bersyukur pengundian berjalan lancar, tenang dan terkawal, cuaca baik membantu kelancaran.
- Kerusi DUN Machap menyaksikan pertembungan sengit satu lawan satu antara Onn Hafiz dan calon PH Nor Hafiz Roslan.
Beliau yang juga Menteri Besar Johor tiba di perkarangan pusat pengundian tersebut kira-kira pukul 8.10 pagi dengan berpakaian baju putih serta bersongkok untuk menunaikan tanggungjawab berkenaan.
Ketika ditemui media, Onn Hafiz menyatakan rasa syukur melihat kelancaran proses pengundian yang berlangsung dalam suasana tenang dan terkawal, dibantu oleh faktor cuaca yang baik di sekitar kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, saya tengok dari segi suasana Bangsa Johor mengundi pada hari ini berada dalam keadaan baik. Cuaca pun nampak baik.
“Jadi saya mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Kerusi DUN Machap menyaksikan pertembungan sengit satu lawan satu antara Onn Hafiz selaku penyandang dan calon PH, Nor Hafiz Roslan.
Sementara itu, Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 5, di sini pada pukul 9 pagi tadi.
Beliau yang tiba di pusat pengundian berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi sempat meluangkan masa beramah mesra dengan petugas media sebelum mengundi.
Ketika ditemui, Arthur menyifatkan proses pengundian kali ini memperlihatkan momentum memberangsangkan dalam kalangan pengundi yang hadir awal untuk melaksanakan hak mereka berbanding penggal sebelum ini.
“Ini kali ketiga atau keempat saya mengundi sejak muda lagi berumur 21 tahun. Kali ini saya rasa sangat berbeza walaupun penggal lepas mengundi di sini juga.
“Kehadiran masa kini sangat aktif, kita nampak ada momentum (dalam kalangan rakyat) menunaikan hak masing-masing,” katanya.
Tinjauan RTM di pusat pengundian tersebut mendapati rata-rata pengundi sudah mula hadir seawal pukul 7.30 pagi, malah ada yang sanggup merentas negeri termasuk dari Shah Alam, Selangor semata-mata untuk mengundi di tempat kelahiran mereka.
Bagi suri rumah, T. Saudamani, beliau yang selesai mengundi seawal pukul 8 pagi menggesa orang ramai agar tidak melepaskan peluang dan segera keluar mengundi bagi menunaikan kewajipan masing-masing.
“Ini merupakan kali keenam saya mengundi dan saya sudah keluar (ke pusat pengundian) sejak jam 8 pagi lagi. Kepada sesiapa yang belum mengundi, segeralah keluar untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.”
Sementara itu, seorang pelajar yang baru berpindah ke Selangor, Farid Hakimi Zulhardy berkata, beliau sanggup memandu dari Shah Alam ke Johor Bahru semalam demi memastikan dapat memilih pemimpin terbaik di tempat kelahirannya.
“Saya gembira hari ini kerana dari Shah Alam… sanggup datang dari jauh semalam untuk mengundi bagi tempat terbaik saya dilahirkan. Di sinilah tempat pertama kali saya bernafas, jadi saya mahukan yang terbaik,” katanya.
Suasana pengundian kali ini turut disifatkan lebih sengit dan mendebarkan.
Md Hasrul yang bertugas sebagai guru berkata, pertembungan lima penjuru yang berlaku kali ini menuntut pengundi untuk berfikir secara matang bagi membuat pilihan yang tepat.
“Ini merupakan kali ketiga saya mengundi, di mana kali pertama dahulu saya mengundi pos kerana bertugas.
“Saya berasa sangat teruja, namun dalam masa yang sama perlu berfikir panjang kerana terdapat persaingan lima penjuru. Saya harus membuat pilihan yang tepat”, katanya.
Manakala Md Hairul Jaafar pula berharap keputusan kali ini tidak menghampakan harapan pengundi bagi melihat perubahan yang lebih baik.
“Saya pun sama, jadi kali ini tidak boleh buat kesilapan (ketika memilih) disebabkan sebelum ini apa yang kita harapkan tidak mendapat keputusan seperti yang diinginkan. Jadi, harapan saya kali ini adalah dapat membuat keputusan yang betul”, ujarnya.
Kerusi DUN Bukit Batu merupakan antara tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan persaingan sengit antara calon-calon yang bertanding.
N51 Bukit Batu, menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Bersama, Muda dan Bebas.