PUTRAJAYA, 18 JUN - Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkasakan dengan inisiatif melatih tenaga pengajar Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui Program Microsoft AI For My Future.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata program yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun itu dilaksanakan secara hibrid dan percuma melibatkan 147 pengajar yang diberi pendedahan secara prakitikal mengenai penggunaan AI yang berpotensi digunakan dalam proses pengajaran.
"Mereka inilah yang akan memberi semangat dan motivasi kepada pelajar TVET untuk belajar perkara baharu. Ini sangat meyakinkan kerana saya percaya semangat ini akan disambut oleh para pelajar. Dalam projek ini, kajian Microsoft mendapati penggunaan AI dapat menjimatkan lebih 88.9% masa dalam penyediaan bahan pengajaran, termasuk pembangunan pelan mengajar dan kuiz", katanya selepas lawatan ke Program Latihan Microsoft AI For My Future di sini, hari ini.
Tambah beliau, KBS turut berhasrat memperluas inisiatif ini dalam sektor sukan dengan membuka peluang kepada bekas atlet negara mempelajari kemahiran baharu melalui kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Terdahulu, seramai 287 pengajar ILKBS telah menerima manfaat daripada tiga siri latihan yang dilaksanakan.