KANGAR, 19 Ogos - Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia kali ke-65 bukan sahaja satu platform penting untuk memperkasa bakat atlet muda tetapi juga membuktikan peranan sukan dalam membina watak serta keperibadian yang seimbang dalam kalangan murid selaras dengan Teras Kedua Dalam 7 Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Penganjuran Kejohanan MSSM memberi peluang kepada atlet murid untuk bertanding dan menunjukkan kehebatan mereka dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan, Zainal Abas, kejohanan seperti itu bukan sekadar sebagai medan persaingan tetapi juga ruang untuk murid memperkukuhkan semangat kesukanan, disiplin malah turut memupuk nilai-nilai murni yang amat penting dalam membina modal insan yang berkualiti.
Selain itu, sukan adalah komponen penting dalam pembangunan modal insan yang seimbang dimana bukan sahaja membantu membentuk jasmani yang sihat, tetapi juga rohani dan minda yang cerdas.
"Sukan mendidik kita tentang erti disiplin, kerja berpasukan, daya saing yang positif dan yang paling penting semangat tidak mudah berputus asa di mana semua nilai ini adalah sejajar dengan matlamat pendidikan negara dalam melahirkan generasi yang holistik, dinamik, serta berakhlak mulia.
"Kementerian Pendidikan Malaysia berharap melalui kejohanan sukan seumpama ini mampu mendukung matlamat pendidikan negara yang ingin melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga unggul dalam pembangunan fizikal, emosi, jasmani dan sosial mereka dengan erti kata lain Atlet Murid Berpendidikan," katanya.
Beliau memaklumkannya pada Perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra yang berlangsung mulai 18 Ogos hingga 24 Ogos 2025 yang menghimpunkan 1,055 atlet mewakili 16 kontinjen terbaik dari seluruh negara.
Sebagai satu ekosistem yang saling mendukung antara satu sama lain, Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan atau bukan kerajaan dalam program berkaitan pembangunan potensi atlet.
Ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menerusi Anjakan ke-9: iaitu Kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.