fb fb fb fb fb

KDA FC terus kempunan

Aksi pemain KDA FC ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman/Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 18 Ogos-Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC terus gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila mereka sekadar seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Darul Aman pada petang semalam (Sabtu).

Pada aksi berkenaan, skuad Sang Kenari ketinggalan 0-1 kepada pasukan pelawat yang berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi Jacque Faye pada minit ke-45.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, KDA FC menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Sony Norde, sekali gus menceriakan kira-kira 1,600 penyokong tuan rumah.

KDA FC kemudian mendahului menerusi jaringan Cleylton pada minit ke-62 untuk kedudukan 2-1.

Bagaimanapun Jacque Faye sekali lagi menjadi penyelamat pasukan pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-79.

Keputusan 2-2 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, perlawanan antara Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh terpaksa dihentikan akibat hujan lebat.

Perlawanan itu akan ditunda ke suatu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD