(Jurulatih JDT, Hector Pablo Bidoglio (kiri) dan kapten pasukan JDT, Farizal Marlias (kanan)
pada sidang media praperlawanan di ibu negara)
KUALA LUMPUR, 25 November- Menjelang aksi Final Piala Malaysia 2022 esok, ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mahu anak-anak buahnya berwaspada dengan momentum kebangkitan dipamerkan Selangor FC pada Liga Malaysia musim ini yang pada masa sama memburu gelaran ke-34.
Katanya, penting buat skuad Harimau Selatan itu merangkul kejuaraan sekali gus mencatat kejuaraan “treble” buat julung kalinya biarpun sudah menjulang piala Liga Super dan Piala FA tahun ini selain meraih Piala Sumbangsih.
“Perlawanan esok dijangka sukar, perlawanan akhir dan untuk sampai di sini adalah amat sukar tetapi pemain kami dalam keadaan baik, mereka sangat gembira kerana kami bermain satu lagi final.
"Piala Malaysia ini adalah amat penting buat JDT untuk memenangi empat piala dalam setahun adalah sukar, kami akan mengambil tanggungjawab penuh dan akan memberi segalanya di padang untuk memenangi piala ini,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini.
Jelas Hector, pengekalan prestasi optimum sesebuah pasukan bermula dari mentaliti pemain namun beliau optimis skuadnya mampu memberi aksi terbaik dalam perlawanan akhir esok.
"Kami ambil tanggungjawab sepenuhnya. Kami akan memberikan segala-galanyanya di padang untuk menang.
"Selangor selaku pasukan lawan mempunyai juga mempunyai kekuatan dan kelebihan, mereka sangat kuat dalam pertahanan dan kesebelasan utama juga padu, saya masih ingat mereka mendapat tiga gol dalam separuh masa pertama ketika melawan Terengganu tempoh hari. Ini kita perlu elakkan. Kami mesti cuba menggunakan dan mengambil peluang atas kelemahan mereka," katanya.
(Jurulatih JDT, Hector Pablo Bidoglio (kiri) dan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe (kanan)
memperagakantrofi Piala Malaysia bersama ketua pasukan Selangor, Shahrul Nazem (kanan) dan ketua
pasukan JDT, Farizal Marlias pada sidang media final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil)
Sementara itu, bagi Kapten pasukan JDT, Farizal Marlias, dia berharap trofi berkenaan akan kembali ke dakapan skuad Harimau Selatan sekali gus memadam kekecewaan musim lalu.
"Apa yang positifnya pada pemain-pemain, sudah pasti mereka sangat bersemangat dan yang menggembirakan saya, pemain-pemain tiada kecederaan, oleh itu skuad bersedia 100 peratus untuk bermain esok," katanya.
Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu pernah menjuarai Piala Malaysia pada edisi 2017 dan 2019 sebelum tumpas musim lalu ke atas LL City FC dalam aksi akhir.
Sementara Selangor layak dua kali ke pentas akhir pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, sementara kali terakhir Selangor muncul juara ialah pada musim 2015 sebelum gagal mempertahankan gelaran apabila tewas kepada Kedah di final musim berikutnya.
Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lalu.