fb fb fb fb fb

Jangan ambil mudah isu lesen kelab kebangsaan

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi/Foto Bernama

SHAH ALAM, 13 November - Pasukan beraksi dalam saingan Liga M3 diingatkan tidak mengambil mudah kepentingan mendapatkan lesen kelab kebangsaan yang diwajibkan MFL, jika berhasrat untuk bersaing dalam kancah Liga Super.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ia bagi mengelakkan situasi sama dihadapi Imigresen FC.

Imigresen layak secara merit bermain di Liga Super selepas menjuarai Liga M3, namun berdepan kekangan memenuhi kriteria ditetapkan.

"Ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada pasukan yang tidak pernah terfikir untuk menjadi juara dan juga kepada kelab lain. AFL hanya menyediakan platform untuk mereka naik (bersaing di liga tertinggi)," katanya.

Beliau ditemui selepas program ‘Dare To Dream’ anjuran MBSB Bank bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers FC.

Imigresen dinobat juara Liga M3 selepas mengakhiri kempen pada kedudukan teratas dengan mengumpul 55 mata.

Mereka dilapor belum memutuskan sama ada mahu menyertai saingan Liga Super musim depan berikutan beberapa faktor perlu diambil kira antaranya melibatkan kewangan dan kemampuan pasukan.

GRACE AISYAH KEDAYAN