
PUTRAJAYA, 20 Julai – Kementerian Komunikasi melancarkan Pelan Strategik Kementerian Komunikasi 2026-2030 yang menjadi dokumen hala tuju utama kementerian bagi memperkukuh sektor komunikasi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
- Pelan strategik menggariskan objektif dan program utama bagi keutamaan kementerian serta semua agensi di bawahnya.
- Memberi tumpuan kepada penyediaan internet yang lebih baik untuk meningkatkan capaian dan kualiti perkhidmatan digital.
- Memperkasa penghasilan kandungan kreatif serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelan strategik itu menggariskan pelbagai objektif dan program yang akan menjadi keutamaan kementerian serta semua agensi di bawahnya.
“Banyak program kementerian yang akan dan sedang dilaksanakan berpandukan Pelan Strategik Komunikasi 2026-2030.
“Saya percaya banyak isu yang diterima oleh kementerian dan agensi-agensi serta jabatan di bawahnya yang akan diberi fokus melalui pelan strategik ini,” katanya.
Tambah beliau, pelan strategik tersebut memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu menyediakan internet yang lebih baik, menghasilkan kandungan yang lebih kreatif dan memastikan penyampaian informasi yang lebih tepat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.