fb fb fb fb fb

Gol masa kecederaan Forestieri lonjak JDT ke tangga teratas Liga Super

FOTO MFL

KUALA LUMPUR, 11 Mei - Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berhempas-pulas sebelum berhasil menewaskan pasukan Negeri Sembilan FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dalam pertembungan itu, penyerang import Argentina Fernando Forestieri muncul wira buat JDT selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan, sekali gus menyaksikan pasukan itu kini di tangga teratas liga dengan 15 mata.

Negeri Sembilan selaku penyandang takhta liga sebelum ini terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua dengan 14 mata.

Di Kuantan dalam satu lagi aksi Liga Super, Sri Pahang FC berputih mata apabila tewas 1-2 kepada Sarawak United di Stadium Darul Makmur.

Pahang terlebih dahulu memecah kebuntuan gol menerusi sepakan deras Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti pada minit ke-48.

Sarawak bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-54 yang memanfaatkan hantaran rakan sepasukan Francis Kone.

Insiden Muhammad Gopi dikasari oleh Muhammad Arshad menghadiahkan sepakan penalti buat Sarawak yang disempurnakan Uche Agba pada minit ke-72, justeru menoktahkan kemenangan skuad Bujang Senang.

Dalam pada itu, Perak FC menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 dalam perlawanan tunggal Liga Premier malam ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol perlawanan dijaringkan kapten pasukan Perak Firdaus Saiyadi pada minit ke-63.- BERNAMA

Media Baharu