PARIS, 16 Julai- Penjaring terbanyak sepanjang masa Perancis, Oliver Giroud mengesahkan persaraannya daripada karier antarabangsanya pada Isnin.
Sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan Perancis, Giroud berjaya menajringkan 57 gol dalam 137 penampilan.
"Saat-saat yang ditakuti sudah tiba. Saat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan Perancis", kata Giroud di instagramnya.
"Kami menjadi satu pasukan yang sukar dipisahkan dibawah kendalian jurulatih Didier Deschamps.Saya ucapkan terima kasih atas kepercayaannya.
"Dia berjaya menjadikan saya sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa Les Bleus.
"Saya telah bermain selama 13 untuk Perancis dan ia akan tersemat di dalam hati. Ia menjadi kebanggaan dan memori terindah", tambah pemain berusia 37 tahun itu.
Sepanjang karier bersama Perancis, Giroud berjaya memenangi Piala Dunia pada 2018 selain menjadi naib juara Piala Dunia 2022 dan kejohanan Eropah.
Dia berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh Thiery Henry yang berjaya mencatatkan 51 gol pada final Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum Perancis ditewaskan oleh Argentina pada penentuan penalti.
Giroud membuat penampilan pertama pada 2011 dan menjaringkan gol pertama pada penampilan ketiga ketika perlawanan persahabatan menentang Jerman menyaksikan Perancis menang 2-1.
Penyerang berkenaan berkata pada Mei lalu bahawa Euro 2024 bakal menjadi kejohanan antarabangsa terakhirnya.
Pada kejohanan berkenaan dia membuat empat penampilan sebagai pemain gantian ketika Perancis mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Sepanyol.
Bekas pemain Arsenal, Chelsea dan AC Milan itu bakal menyertai Los Angeles FC di Liga Utama (MLS) musim depan.-AFP