fb fb fb fb fb

Gagal fokus hingga saat akhir punca tewas - Asri Ninggal

(FOTO FB MUFC)

MELAKA, 24 Julai - Gagal fokus hingga saat akhir perlawanan menjadi antara punca gawang gol Melaka United FC (MUFC) bolos pada minit terakhir perlawanan aksi suku final Piala FA menetang Johor Darul Ta'zim (JDT), di sini malam tadi.

Pengendali skuad Hang Tuah Mohd Asri Ninggal mengakui ia kesilapan sendiri selepas berjaya mengikat kedudukan 1-1 dan terpaksa menunggu hingga minit ke-84.

"Kita patut salahkan diri sendiri kerana tidak fokus hingga akhir permainan. Pun begitu, kredit perlu diberikan kepada pemain saya kerana walaupun ketinggalan sejak minit ke-4, kami berjaya mengikat kedudukan hingga hujung permainan," katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

(Melaka United (MUFC) gagal mencari rentak apabila tewas 1-2 menentang Johor Darul Tazim (JDT) malam tadi/FOTO FB MUFC)

Katanya prestasi dan corak permainan MUFC sepanjang 90 minit perlawanan itu juga menunjukkan pasukan itu boleh menandingi mana-mana pasukan selepas ini.

"Johor juga 'lemah' jika Bergson (Da Silva) tiada dan dia adalah penyerang terbaik yang Malaysia ada setakat ini,” katanya.

Pada aksi malam tadi, kapten pasukan Sony Norde muncul wira pasukan apabila berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti pada minit ke-84.

Bagaimanapun Bergson Da Silva memastikan JDT mara ke aksi separuh akhir apabila menjaringkan gol pada waktu kecederaan, sekali gus melenyapkan impian MUFC apabila keputusan kekal 1-2 hingga wisel penamat ditiupkan. - BERNAMA

Media Baharu