KUALA LUMPUR, 4 Disember- Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V.Subramaniam yakin punca persatuan itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah disebabkan menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) tahun depan.
Beliau juga mengakui tidak terkejut dengan situasi itu memandangkan terdapat beberapa sebab disebaliknya namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Dalam pada itu beliau menggesa agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalakan siasatan.
"Seperti yang anda semua tahu semalam, kami telah pun mengeluarkan kenyataan pendek mengenai siasatan SPRM. Kami hanya mahu menyatakan bahawa kami akan menunggu SPRM untuk melakukan penyiasatan yang perlu. Apa-apa pun kami tunggu kesimpulan mereka. Tiada ada hendak diulas ketika ini.
"Kami tidak tahu apa-apa. Tiada ada nak dikatakan. Tunggu dan lihat," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu selepas majlis menandatangani kerjasama BAM dengan syarikat jenama peralatan badminton terkenal YONEX di Ibu Negara.
Semalam, badan induk itu mengesahkan bahawa pegawai SPRM datang ke pejabat persatuan itu minggu lepas untuk mendapatkan maklumat tertentu.
Menurut BAM, persatuan itu memberikan kerjasama penuh ketika lawatan tersebut dan para pegawai terbabit menjalankan tugas mereka secara profesional.