JEDDAH, 23 April- Tiga kelab ternama Arab Saudi, termasuk pasukan bintang Cristiano Ronaldo, Al Nassr, bersaing merebut gelaran Liga Juara-Juara AFC apabila pusingan kalah mati bermula Jumaat ini.
Arab Saudi menjadi tuan rumah bagi suku akhir, separuh akhir dan akhir kejohanan kelab utama Asia yang kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Elit AFC berlangsung dari 25 April hingga 3 Mei di Jeddah.
Dengan dana yang besar dan pemain bintang dari Eropah, Al Ahli dari Jeddah serta Al Hilal dan Al Nassr dari Riyadh muncul antara pilihan utama untuk menjulang trofi di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah yang berkapasiti 62,000 penonton.
Pasukan Saudi mendominasi peringkat zon Barat dengan Al Hilal dan Al Ahli masing-masing tidak tewas dalam lapan perlawanan manakala Al Nassr di tempat ketiga terbaik.
Ronaldo, 40, yang masih tajam di hadapan gawang telah menjaringkan tujuh gol dalam kejohanan musim ini dan berazam meraih kejuaraan pertamanya dalam Liga Juara-Juara AFC pada penghujung kerjaya cemerlangnya.
Ketua jurulatih Al Nassr, Stefano Pioli, yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh selepas terkandas di suku akhir musim lalu.
“Saya sentiasa yakin dengan pemain kerana komitmen tinggi mereka dalam latihan. Kadang-kala keputusan tidak menyebelahi kami, tetapi kami berada di landasan yang betul,” katanya.
Bagaimanapun, Al Nassr perlu melepasi cabaran finalis musim lalu, Yokohama F-Marinos dari Jepun yang kini bergelut selepas memecat pengendali Steve Holland minggu lalu, kurang empat bulan selepas dilantik.
Yokohama berada di tangga tercorot Liga J dengan hanya satu kemenangan daripada 12 perlawanan, namun menjuarai Zon Timur dan menyingkirkan juara China, Shanghai Port dengan agregat 5-1 pada pusingan 16 terbaik.- AFP