fb fb fb fb fb

ACLE: JDT benam Ulsan HD 3-0

Foto FB JOHOR Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 5 November- Johor Darul Ta'zim gah membenam jaguh Korea Selatan, Ulsan HD, 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.

Tirai jaringan dibuka seawal minit ke-7 apabila Arif Aiman Hanapi mudah mencuri bola di kawasan bahaya, sebelum menyudahkan serangan dengan rembatan leret. 

Babak kedua, Ulsan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52, namun rembatan deras Yun Illok, sekadar mengenai palang gol. 

Minit ke-60 menyaksikan gerakan lincah antara Arif Aiman dan Bergson Da Silva hampir membuahkan hasil, namun penjaga gol Ulsan lebih cekap menafikan peluang. 

Tujuh minit kemudian, Oscar Arribas berjaya menggandakan kedudukan buat JDT selepas rembatan luar kotak penaltinya terbias tinggi, sebelum menjunam terus ke dalam gawang gol Ulsan. 

Bergson menambah derita buat pasukan pelawat apabila rembatannya pada minit ke-88, turut menerjah jaring. 

Keputusan perlawanan kekal memihak kepada JDT dengan kutipan gol 3-0.

Kemenangan bergaya di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mendaki tangga ketiga, saingan kumpulan zon timur. 

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Ulsan HD, Kim Pan Gon menyifatkan kekalahan itu berpunca susulan keletihan para pemain, atas faktor cuaca, jadual padat dan perjalanan jauh. 

"Semestinya, kami sangat lemah dan saya sangat kecewa. Kami tidak berjaya meraih sebarang mata di sini. Ia adalah perlawanan yang sangat sukar dan saya rasa perjalanan untuk sampai ke sini amat mencabar. Kami seluruh pasukan memohon maaf kepada kepada semua peminat," kata Pan Gon.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio pula memuji anak buahnya, yang berjaya mengekalkan tempo permainan dengan serangan bertali arus. 

"JDT mempunyai falsafah tersendiri. JDT ialah pasukan yang gemar bermain di kawasan pihak lawan. Falsafah kami bukan sahaja untuk menguasai bola, tetapi juga untuk terus menekan pihak lawan.

Serangan balas kami sangat berkesan. Pasukan bermain dengan sangat padat, dan saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain," jelas Bidoglio.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM