fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: Pengundi tunai tanggungjawab hingga saat akhir

Pengundi, Mohd Amran Shah Isnon, 47 tahun (kanan) dan isteri Rashidah Mohammad, 45 tahun (dua kiri) selesai mengundi sebelum pusat undi SK Renok Baru ditutup pada pukul 6.00 petang tadi

GUA MUSANG, 17 Ogos- Tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Nenggiri mendapati pengundi menunaikan tanggungjawab sehingga ke saat-saat akhir sebelum ia ditutup tepat pukul 6.00 petang tadi.

Pengundi yang ditemui memaklumkan walaupun sibuk dengan urusan kerja, mereka tetap berusaha untuk hadir menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Bagi mereka undi adalah penting dalam menentukan pemimpin yang bakal membela nasib mereka di kawasan tersebut.

"Saya kerja di Kuala Lumpur, balik kerja terus gerak balik kampung (untuk mengundi). Saya bertolak 1.00 pagi tadi, ini baru sampai. Sebab memang tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk mengundi, macam mana pun kena keluar mengundi," kata Hamdan Mohd Zain 

"Tadi saya pergi ambil lesen, kemudian ada kerja sikit... sekarang baru balik. (Walaupun lewat) saya tetap tunaikan tanggungjawab sebab undi ini penting, jadi tak boleh lepaskan," Muhammad Shakir Zufari Mohd Rahim, 19 tahun.

"Saya memang niat nak pergi, tetapi ada kerja, habis (kerja) tadi dalam pukul 3.00 petang, lepas itu simpan (dan) kemas barang, beli barang-barang (meniaga) pula, jadi lewat sikit. Tetapi sebab tanggungjawab... kita macam mana pun kena tunaikan, wajib kena keluar (mengundi) sebab kita hendak memilih pemimpin yang nak menjaga kita ini," kata Mohd Amran Shah Isnon, 47 tahun.

Proses pengundian bagi PRK DUN Nenggiri berakhir selepas kesemua 20 pusat yang dibuka sejak 8.00 pagi tadi ditutup secara rasmi.

Sebanyak 14 pusat mengundi ditutup pada 6.00 petang manakala enam lagi ditutup lebih awal dengan empat daripadanya pada 2.00 petang dan dua pada 3.00 petang.

1708 PUSAT MENGUNDI NENGGIRI TUTUP 2
Hamdan Mohd Zain, Muhammad Shakir Zufari Mohd Rahim dan Mohd Amran Shah Isnon

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA