
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Prospek ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2026 dijangka menyederhana berdasarkan Indeks Pelopor (IP) yang meningkat 0.5 peratus pada Mac, mencatatkan 113.3 mata berbanding 112.7 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.
- Tiga daripada tujuh komponen berkembang; Bilangan Unit Kediaman Diluluskan catat pertumbuhan tertinggi 32.3%.
- Import Benar Semi Konduktor susut 22.6%, mencerminkan permintaan luaran yang lebih sederhana.
- Arah aliran jangka panjang IP kekal di bawah 100, mencerminkan momentum pertumbuhan sederhana dan risiko ketidaktentuan global serta tekanan inflasi.
- Indeks Serentak meningkat disokong nilai caruman benar KWSP dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit; prestasi bulanan juga bertambah.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan, peningkatan itu dipacu pengembangan tiga daripada tujuh komponen, dengan Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 32.3 peratus.
”Sebaliknya, Import Benar Semi Konduktor mencatatkan penyusutan sebanyak 22.6 peratus, selari dengan permintaan luaran yang lebih sederhana, sekali gus mengehadkan pertumbuhan keseluruhan indeks.
”Sementara itu, momentum bulanan IP merekodkan penurunan marginal 0.1 peratus, terutamanya dipengaruhi oleh penyederhanaan dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-0.9%),” menurut kenyataan itu hari ini.
Berdasarkan trend arah aliran jangka panjang pada Mac 2026, IP kekal berada di bawah 100.0 mata, mencerminkan momentum pertumbuhan yang sederhana di sebalik risiko ketidaktentuan global, termasuk tekanan inflasi yang masih berlanjutan.
Bagaimanapun, aktiviti ekonomi domestik yang kukuh serta pelaburan yang berterusan terus menyokong ekonomi negara dalam menghadapi kejutan luaran.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa meningkat 2.0 peratus kepada 130.4 mata pada Mac 2026 berbanding 127.9 mata pada Mac 2025.
”Peningkatan ini disokong oleh Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 16.4 peratus dan diikuti dengan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (5.0 peratus).
”Selari dengan itu, prestasi bulanan juga meningkat 0.8 peratus, disumbangkan oleh Nilai Caruman Benar KWSP sebanyak 0.9 peratus,” tambah kenyataan itu.