
KUALA LUMPUR, 18 November – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu mengenal pasti tujuan serta keperluan pembiayaan sebenar sebelum memohon kemudahan di bawah Skim Jaminan Kerajaan bagi mengelakkan komitmen kewangan melebihi kemampuan perniagaan.
- Tentukan jumlah pembiayaan dan tempoh bayaran balik sesuai bagi memastikan kemudahan tidak menjadi beban kepada perniagaan.
- Kenal pasti tujuan pembiayaan sama ada modal kerja atau perbelanjaan modal serta pastikan jumlah dipohon beri manfaat nyata.
- Skim menawarkan peruntukan RM20 bilion, jaminan sehingga 80%, had pembiayaan besar, tempoh capai 12 tahun, yuran jaminan dikenakan.
Pegawai Utama Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Juanita Rusmini Abdul Jalil berkata, penentuan jumlah pembiayaan dan tempoh bayaran balik yang bersesuaian penting bagi memastikan kemudahan itu tidak menjadi beban kepada pengusaha.
“PMKS perlu memastikan berapa banyak pembiayaan yang diperlukan dan tempoh bayaran balik kerana kita tidak mahu perkara ini menjadi bebanan kepada mereka sekiranya tidak dapat membuat pembayaran semula,” katanya pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.
Beliau berkata, pengusaha juga perlu mengenal pasti sama ada pembiayaan diperlukan untuk modal kerja atau perbelanjaan modal, selain memastikan jumlah yang dipohon benar-benar memberi manfaat kepada perkembangan perniagaan.
Sementara itu, Belanjawan 2027 memperuntukkan jaminan pembiayaan sebanyak RM20 bilion bagi membantu PMKS, khususnya perniagaan yang berdepan kekangan cagaran, mendapatkan akses kepada kemudahan kewangan.
Jelasnya, permohonan boleh dibuat menerusi institusi kewangan yang mengambil bahagian dalam skim berkenaan, tertakluk kepada penilaian rancangan perniagaan serta keupayaan menjana pendapatan.
Menerusi skim itu, had pembiayaan ditawarkan sehingga RM30 juta bagi modal kerja dan RM50 juta bagi perbelanjaan modal, dengan jaminan pembiayaan sehingga 80 peratus.
Tempoh pembiayaan bagi perbelanjaan modal pula boleh mencecah sehingga 12 tahun.
Yuran jaminan ditetapkan pada kadar satu peratus setahun, manakala kadar khas 0.75 peratus setahun ditawarkan kepada pemohon Bumiputera.