Perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan, jualan cecah RM171.3 bilion pada Mei

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Nilai jualan sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia terus mencatat pertumbuhan apabila meningkat 11.0 peratus kepada RM171.3 bilion pada Mei 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong prestasi kukuh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsektor perdagangan borong meningkat 18.4% kepada RM80.8 bilion, disokong pertumbuhan kuat dalam kumpulan lain-lain pengkhususan.
  • Perdagangan runcit berkembang 7.2% kepada RM71.9 bilion, didorong kedai bukan pengkhususan dan perbelanjaan pengguna sempena cuti.
  • Indeks jualan runcit dalam talian meningkat 8.6% menunjukkan daya tahan e-dagang; subsektor kenderaan bermotor menyusut 2.3%.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, subsektor perdagangan borong merekodkan jualan sebanyak RM80.8 bilion, meningkat 18.4 peratus atau RM12.6 bilion berbanding Mei 2025.

Sementara itu, subsektor perdagangan runcit mencatat nilai jualan RM71.9 bilion, meningkat 7.2 peratus atau RM4.8 bilion tahun ke tahun.

Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor merekodkan penyusutan apabila jualannya berkurangan 2.3 peratus kepada RM18.6 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan dalam subsektor perdagangan borong didorong terutamanya oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang mencatat pertumbuhan 42.6 peratus berikutan peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair selaras dengan kenaikan harga pasaran,” menurut DOSM.

DOSM berkata, jualan borong makanan, minuman dan tembakau turut berkembang 5.0 peratus, disokong peningkatan permintaan terhadap beras, bijirin, tepung, gula, produk tenusu dan makanan laut.

Jualan borong barangan isi rumah pula meningkat 3.5 peratus kepada RM15.2 bilion, dipacu permintaan yang lebih tinggi terhadap produk farmaseutikal dan perubatan, barang kemas serta pakaian.

Bagi subsektor perdagangan runcit, pertumbuhan jualan sebahagian besarnya disumbangkan oleh kedai bukan pengkhususan yang merekodkan peningkatan 8.2 peratus kepada RM28.0 bilion.

Menurut DOSM, prestasi sektor itu turut disokong peningkatan pergerakan serta perbelanjaan pengguna sempena cuti umum Hari Pekerja, Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan cuti persekolahan pada minggu terakhir Mei.

Dalam perkembangan berkaitan, aktiviti e-dagang terus berkembang apabila indeks jualan runcit dalam talian meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun pada Mei berbanding 7.1 peratus yang direkodkan pada April.

“Prestasi ini mencerminkan daya tahan segmen e-dagang yang terus disokong oleh perbelanjaan pengguna yang stabil menerusi platform dalam talian,” menurut DOSM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.