
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Impian seorang anak kecil iaitu adik Muhammad Afif Ikhwan yang berusia sembilan tahun yang mahu melihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara dekat menyentuh hati pemimpin negara itu.
- Nenek Rosimah berkelana melintasi ladang kelapa sawit dengan motosikal demi memenuhi hasrat cucunya.
- Afif diselipkan di antara khalayak, bersalaman dan dibawa ke pentas Felda Palong Timur, Segamat.
- Perdana Menteri meminta agar Afif dihadiahkan sebuah basikal sebagai kenangan.
- Anwar berharap pertemuan singkat menyemai semangat belajar, berusaha dan berbakti; mengingatkan pentingnya ihsan walau sibuk.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Facebook menyatakan bahawa beliau tidak menyangka bahawa detik yang begitu singkat itu membawa makna besar buat Afif.
“Impian yang barangkali kecil pada pandangan kita, namun cukup besar untuk menggerakkan neneknya Rosimah Mohammad meredah ladang kelapa sawit dengan motosikal demi memenuhi hasrat cucunya itu.
“Tangan kecilnya menyelit di celah khalayak dan kami bersalaman dan membawanya ke pentas di Felda Palong Timur, Segamat baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri turut meminta agar Afif dihadiahkan sebuah basikal dan mengharapkan pertemuan singkat itu menjadi kenangan berharga.
“Mudah-mudahan peretmuan singkat kami menjadi secarik kenangan yang menyala semangat kepada Afif untuk terus belajar, berusaha dan kelak menumpahkan bakti kepada keluarga, masyarakat serta negara,” tambah kenyataan itu.
Dalam hantaran sama, beliau menegaskan, kesibukan mengurus tadbir negara serta mendepani pelbagai cabaran besar tidak seharusnya menghakis nilai ihsan dan kemanusiaan dalam menyantuni masyarakat.
“Sesibuk mana pun kerja kita mengurus negara dan mendepani pelbagai tantangan besar, usah sesekali kita hilang ihsan untuk menyantuni dan mempamerkan kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.