
SYDNEY, 10 Julai- Saintis mengesan virus selesema burung H5 yang sangat mudah berjangkit pada spesis burung laut tempatan di Australia buat kali pertama, menurut kerajaan negara itu pada Jumaat.
- 12 kes H5 sejak Jun, tetapi semua membabitkan burung laut berhijrah, bukan haiwan tempatan.
- Ujian makmal sahkan jangkitan pada seekor camar jambul besar ditemui di Robe, Australia Selatan.
- Menteri: perkembangan membimbangkan tetapi dijangka, dan setakat ini tiada bukti kematian besar-besaran.
- Tiada petunjuk virus merebak kepada haiwan lain, ternakan atau sistem pertanian; saintis cuba kenal pasti laluan penyebaran.
Australia sebelum ini menjadi satu-satunya benua yang bebas daripada strain H5 selama bertahun-tahun sebelum virus berkenaan menyebabkan penyakit serius serta kadar kematian tinggi dalam kalangan unggas ternakan dan burung liar di seluruh dunia.
Sebanyak 12 kes selesema burung H5 disahkan di Australia sejak Jun lalu, namun kesemua membabitkan burung laut berhijrah dan bukannya hidupan liar tempatan.
Ujian makmal mengesahkan penyakit itu menjangkiti seekor burung camar jambul besar (greater crested tern) yang ditemukan di bandar Robe, Australia Selatan.
Menteri Pertanian Australia, Julie Collins berkata perkembangan itu membimbangkan, namun ia bukan sesuatu yang di luar jangkaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa setakat ini tiada bukti berlaku kematian besar-besaran akibat selesema burung H5,” katanya pada sidang media di Hobart, ibu negeri Tasmania.
Beliau berkata tiada petunjuk virus itu telah merebak kepada populasi haiwan lain, ternakan ayam atau sistem pertanian, selain risiko terhadap kesihatan manusia kekal rendah.
Collins berkata saintis kini berusaha mengenal pasti laluan penyebaran virus berkenaan kepada burung tempatan.
Pada Jun lalu, saintis memaklumkan strain H5 telah menyebabkan kematian lebih 13,000 anak gajah laut selepas menjangkiti koloni pembiakan di Kepulauan Heard dan McDonald, salah satu wilayah luar Australia di kawasan sub-Antartika. -AFP