
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Malaysia mengemukakan cadangan pelaksanaan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan sebagai pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP), ketika Mesyuarat Ke-27 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan di Bali, Indonesia.
- Malaysia komited sebagai Timbalan Pengerusi MSC memainkan peranan lebih aktif memperkukuh kerjasama ASEAN menangani pencemaran jerebu.
- Musim kering dan fenomena El Nino diramal 2026-2027, memerlukan perancangan kolektif untuk mengurangkan risiko titik panas.
- METMalaysia bentangkan Southeast Asia Fire Danger Rating System untuk diguna pakai semua negara anggota bagi mempertingkat pemantauan dan pencegahan.
- Semua negara anggota komited memperkukuh pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas bersepadu bagi merealisasikan ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, cadangan itu bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu jerebu rentas sempadan, pengurusan tanah gambut, kebakaran hutan serta agenda kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, Malaysia yang dipilih sebagai Timbalan Pengerusi MSC bagi tahun ini komited memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh kerjasama negara-negara ASEAN bagi mendepani cabaran pencemaran jerebu.
“Musim cuaca kering dan fenomena El Nino diramal melanda rantau ini pada pertengahan kedua tahun 2026 sehingga pertengahan awal 2027.

“Justeru, perancangan dan persediaan secara kolektif serta menyeluruh perlu dilaksanakan oleh semua negara serantau bagi mengurangkan risiko peningkatan titik panas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut membentangkan perkembangan terkini Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA FDRS) yang akan diguna pakai semua negara anggota bagi mempertingkat pemantauan serta langkah pencegahan kebakaran hutan dan jerebu.
Datuk Seri Arthur berkata, mesyuarat itu turut menyaksikan komitmen semua negara anggota untuk terus memperkukuh usaha pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas secara bersepadu dalam merealisasikan aspirasi ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat MSC tahun depan selaku Timbalan Pengerusi bagi tahun ini.
Katanya, cadangan Malaysia untuk menganjurkan mesyuarat berkenaan buat julung kali di Kota Kinabalu, Sabah turut dipersetujui semua negara anggota.
“Saya mengusulkan supaya mesyuarat peringkat ASEAN ini diadakan buat kali pertama di Kota Kinabalu, Sabah dan usul ini telah diterima.
“Semoga segala persediaan dan perancangan ke arah penganjurannya dipermudahkan serta berjalan lancar,” katanya.
Mesyuarat Ke-27 MSC menghimpunkan menteri-menteri alam sekitar dari negara-negara selatan ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan cabaran perubahan iklim.