
BUKIT KAYU HITAM, 10 Julai– Laluan Baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dirasmikan hari ini.
- Perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawat Thailand Anutin Charnvirakul.
- Laluan baharu dibuka kepada semua pengguna jalan raya mulai jam 6.00 pagi esok.
- Pintu sempadan sedia ada akan ditutup sepenuhnya mulai pukul 12.00 tengah malam.
- Memperkukuh hubungan dua hala, melancarkan perdagangan dan logistik serta meningkatkan keselamatan melalui infrastruktur moden dan kawalan bersepadu.
Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Anutin Charnvirakul.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, laluan baharu itu akan mula dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada pukul 6.00 pagi esok.
Seiring dengan itu, pintu sempadan sedia ada yang menghubungkan Bukit Kayu Hitam dengan Danok, Thailand akan ditutup sepenuhnya bermula pukul 12.00 tengah malam.
“Pembukaan laluan baharu ini satu pencapaian strategik yang mencerminkan kejayaan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam membangunkan infrastruktur sempadan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya tahan.
Laluan itu juga menjadi simbol persahabatan antara Malaysia-Thailand serta menyokong agenda kesalinghubungan ASEAN melalui peningkatan mobiliti rakyat, perdagangan, pelaburan dan pelancongan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, laluan baharu itu dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada Malaysia dan Thailand.
Antaranya, memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Thailand melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih erat dan meningkatkan kesalinghubungan Koridor Ekonomi Utara-Selatan ASEAN.
“Ia juga dapat melancarkan perdagangan, logistik dan rantaian bekalan dan merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan sempadan.
Selain, meningkatkan kecekapan urusan keluar masuk negara serta memperkukuh keselamatan sempadan melalui infrastruktur moden dan kawalan bersepadu,” menurut kenyataan itu lagi.
KDN optimis pembukaan laluan baharu itu menjadi pemangkin kepada kerjasama Malaysia-Thailand yang lebih kukuh.
Pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi rentas sempadan dan pengurusan pintu masuk negara yang lebih selamat, cekap serta berintegriti.