Pelarasan gaji peluang perkukuh kewangan jangka panjang, tambah tabungan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Pelarasan dan kenaikan gaji penjawat awam disifatkan usaha postif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelarasan gaji harus dimanfaatkan untuk memperkukuh kewangan jangka panjang, bukan meningkatkan perbelanjaan mendadak.
  • Gunakan kenaikan untuk mengurangkan hutang supaya terhindar daripada beban faedah tinggi dan peminjam tidak berlesen.
  • Membina simpanan kecemasan penting untuk melindungi isi rumah daripada risiko kewangan tidak dijangka.
  • Peningkatan imbuhan dijangka meningkatkan motivasi dan fokus guru sekolah kerajaan.
  • Melabur dalam kebajikan guru menyokong pendidikan berkualiti dan pembangunan modal insan negara.

Namun manfaat sebenar langkah itu bergantung kepada tahap disiplin individu dalam mengurus pendapatan masing-masing.

Pensyarah Kewangan Islam INCEIF University, Prof. Madya Dr Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata kenaikan gaji tidak seharusnya mendorong kepada peningkatan perbelanjaan secara mendadak, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh kedudukan kewangan jangka panjang termasuk mengurangkan hutang dan membina simpanan kecemasan.

Beliau berkata kegagalan menyediakan simpanan kecemasan boleh mendedahkan isi rumah kepada risiko kewangan serius terutama apabila berdepan situasi tidak dijangka seperti masalah kesihatan atau kehilangan sumber pendapatan.

“Masalah utama apabila berlaku kecemasan ialah ramai orang tidak mempunyai simpanan. Ketiadaan simpanan kecemasan menjadi sangat berisiko apabila berlaku perkara di luar jangkaan.

“Tanpa simpanan ini, seseorang terpaksa meminjam dengan kadar faedah yang tinggi, ada yang mencecah hingga 12 peratus, malah ada juga terpaksa berurusan dengan peminjam wang tidak berlesen. Keadaan ini akhirnya boleh menjerumuskan individu ke dalam perangkap beban hutang yang sukar untuk dilepaskan,” katanya lagi.

Pada masa sama, pelarasan gaji turut dilihat signifikan terhadap sektor pendidikan, khususnya kebajikan guru sekolah kerajaan.

Jelasnya, imbuhan yang lebih baik diyakini mampu meningkatkan motivasi dan fokus golongan pendidik sekali gus memastikan kualiti pendidikan awam terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan berkualiti merupakan asas penting pembangunan modal insan negara dan usaha memperkukuh kesejahteraan guru perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan sistem pendidikan awal kekal kompetitif.