
PUTRAJAYA, 8 Januari – Pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan diumumkan pada suku pertama tahun ini.
- Pelan tindakan JS-SEZ akan diumumkan suku pertama 2026 sebagai panduan kepada pelabur dan penyelarasan pembangunan.
- Fokus JS-SEZ pada 11 sektor utama termasuk pembuatan, logistik, perkhidmatan kewangan dan ekonomi digital.
- Pembangunan merangkumi kawasan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Pengerang dan Desaru dengan perincian kawasan pembangunan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Gan Kim Yong, pada hujung bulan ini.
“Rancangan kami adalah untuk melancarkan pelan induknya, dalam suku pertama tahun ini. Pada masa yang sama, kami sedang mengatur pertemuan antara saya dan Menteri dari Singapura pada penghujung bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 dan Perhimpunan Bulan Januari Tahun 2026 bagi Kementerian Ekonomi di sini.
Pelan tindakan itu bertujuan sebagai panduan kepada pelabur serta bagi menyelaras pembangunan JS-SEZ secara jelas dan tersusun.
Zon ekonomi khas itu akan memfokuskan kepada 11 sektor utama, termasuk pembuatan, logistik, perkhidmatan kewangan, dan ekonomi digital.
Ia juga merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, dan Desaru, dengan keluasan tanah seluas 357,128 hektar.
Kawasan pembangunan Iskandar pula merangkumi Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.