
KUALA LUMPUR, 5 November – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus mencerminkan penilaian pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dan tekanan inflasi yang masih terkawal.
- Ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku ketiga, disokong prestasi eksport dan permintaan domestik.
- Pengekalan OPR memberikan kestabilan bagi perancangan kewangan isi rumah; impak ansuran bergantung terma pembiayaan.
- Bagi PKS, pengekalan membantu perancangan kos, aliran tunai dan pelaburan; hala tuju OPR bergantung pada inflasi dan permintaan global.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, kadar itu masih bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa berdasarkan penilaian bank pusat.
“Petunjuk terkini menunjukkan ekonomi Malaysia terus berkembang kukuh pada suku ketiga, disokong oleh prestasi eksport yang baik dan permintaan domestik yang berterusan. Pada masa sama, inflasi masih terkawal.
“Jadi, pada penilaian Bank Negara Malaysia, kadar 2.75 peratus masih konsisten dengan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Mengulas mengenai kesan keputusan itu terhadap pengguna, beliau berkata pengekalan OPR menawarkan kestabilan kepada perancangan kewangan isi rumah.
Bagaimanapun, kesan perubahan OPR terhadap jumlah ansuran bulanan bergantung pada jenis, struktur dan terma pembiayaan masing-masing.
Bagi sektor perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pengekalan kadar itu membantu memberikan kepastian dalam perancangan kos, aliran tunai dan pelaburan, meskipun keputusan pembiayaan masih perlu mengambil kira prospek permintaan, kos input dan keadaan pasaran.
Menyentuh mengenai hala tuju dasar monetari pada 2027 pula, Dr. Nur Surayya berkata, perkembangan inflasi, kekuatan permintaan domestik serta keadaan ekonomi global akan terus menjadi antara faktor utama yang dinilai BNM dalam menentukan hala tuju OPR.
“Bagi tahun 2027, keputusan berkaitan kadar dasar akan bergantung pada perkembangan tekanan harga dan kekuatan ekonomi domestik serta global,” katanya.