
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Pengukuhan ringgit yang meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu mencerminkan kestabilan politik serta prestasi aktiviti ekonomi negara yang kukuh.
- Minat pasaran mata wang asing mendorong pembelian ringgit untuk pulangan masa hadapan.
- Kestabilan politik dan prestasi ekonomi kukuh menyokong pengukuhan mata wang tempatan.
- Aliran masuk pelancong meningkatkan pertukaran mata wang asing ke dalam negara.
- Pelaburan portfolio dan langsung asing dipacu oleh perbezaan kadar faedah menguatkan ringgit.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, minat pasaran mata wang asing turut mendorong kenaikan unit tempatan berbanding mata serantau antara 1.5 hingga 13.9 peratus pada tempoh sama.
“Sebagai contoh, apabila nilai mata wang kita semakin baik, para pelabur dan minat pasaran mata wang asing akan cenderung membeli mata wang kita untuk pulangan pada masa hadapan.
“Sekiranya sesebuah negara tidak mempunyai kestabilan politik, menghadapi kekurangan aktiviti ekonomi, dan kadar faedah yang rendah, tindakan pembelian dan sokongan pasaran ini secara tidak langsung akan memilih ringgit dan memastikan nilai mata wang kita berada pada landasan yang baik.” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, peningkatan ketibaan pelancong asing yang memberangsangkan sepanjang tahun lalu turut menyumbang kepada aliran masuk pertukaran mata wang asing yang lebih baik.
Menurutnya, situasi ini berbeza dengan beberapa negara jiran yang terjejas akibat bencana alam dan ketidakstabilan politik, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengukuhan mata wang tempatan yang meningkat sebanyak 4.09 peratus kepada paras 3.89 berbanding dolar AS turut dipacu oleh aliran masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing.
“Penurunan kadar faedah yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat menyebabkan para pelabur lebih cenderung melabur di negara yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi.
“Ini bermakna negara lain akan menyalurkan pelaburan mereka ke Malaysia kerana negara ini menawarkan pulangan lebih menarik melalui portfolio dan pelaburan aset kewangan.” katanya lagi.
Ketika dibuka pagi tadi, ringgit mengukuh kepada paras 3.88 berbanding dolar AS daripada 3.89 pada penutup semalam.