CIMB-Ant International meterai MoU, teroka inovasi pembayaran rentas sempadan

Foto CIMB

KUALA LUMPUR, 26 Februari CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) dan Ant International memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka inovasi dalam pembayaran rentas sempadan serta penyelesaian pengurusan perbendaharaan dan kecairan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU antara CIMB dan Ant International untuk meneroka inovasi pembayaran rentas sempadan dan pengurusan perbendaharaan.
  • Kerjasama melibatkan Alipay+, Antom dan Bettr Treasury serta keupayaan CIMB dalam tunai, pasaran dan pembiayaan.
  • Pembangunan rangka kerja digital berasaskan teknologi lejar teragih untuk pengoptimuman kecairan dan ketelusan rentas sempadan.
  • Inisiatif menyokong strategi Forward30 dan usaha memperkasa infrastruktur kewangan digital negara.

Kerjasama strategik itu melibatkan perniagaan utama Ant International termasuk Alipay+, Antom dan Bettr Treasury, merangkumi keupayaan CIMB dalam pengurusan tunai, perbendaharaan dan pasaran, kemudahan kredit serta pembiayaan, aktiviti pasaran modal dan inisiatif kemampanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata kedua-dua pihak akan membangunkan rangka kerja digital bagi meningkatkan operasi perbendaharaan dan kecairan, dengan memanfaatkan penyelesaian pengurusan perbendaharaan berasaskan teknologi rantaian blok generasi baharu milik Ant International, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia.

“Rangka kerja tersebut bertujuan mengukuhkan kecekapan modal, ketelusan serta pengoptimuman kecairan rentas sempadan, sekali gus meningkatkan daya saing ekosistem kewangan serantau bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, kerjasama itu menandakan satu pencapaian penting dalam strategi Forward30, yang menerapkan inovasi sebagai sebagai teras kepada cara operasi dan daya saing kumpulan.

Menurutnya, kolaborasi tersebut membolehkan CIMB mempercepat penggunaan teknologi lejar teragih dalam ekosistem perbendaharaan institusi serta membina infrastruktur kewangan digital yang berskala di peringkat ASEAN.

Sementara itu, Presiden Ant International, Douglas Feagin berkata kerjasama itu bertujuan memanfaatkan teknologi bagi mewujudkan pembayaran rentas sempadan yang lebih lancar dan inklusif.

“Dengan menggabungkan kekuatan masing-masing, kami akan memperluas penggunaan tokenisasi di peringkat institusi, satu tonggak utama infrastruktur kewangan generasi baharu bagi mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih cekap dan inklusif untuk perniagaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sama.

Inisiatif berkenaan turut mengukuhkan usaha CIMB dalam memperkasa infrastruktur kewangan digital negara, sejajar penyertaannya dalam Hab Inovasi Aset Digital Bank Negara Malaysia serta agenda transformasi digital Forward30.