MIMF 2026 perkasa automasi, sasar hingga 40 peratus PKS tembusi pasaran eksport

Ketika ini hanya kira-kira 15 hingga 20 peratus syarikat tempatan bersedia menembusi pasaran eksport dan jumlah itu disasar meningkat kepada 30 hingga 40 peratus menerusi pendedahan teknologi serta inovasi industri, menurut Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ekspo Antarabangsa Mesin dan Peralatan Malaysia (MIMF) kali ke-37 dijangka menjadi platform penting dalam mempercepat transformasi industri pembuatan tempatan menerusi penggunaan automasi, teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • MIMF 2026 menjadi platform mempercepat transformasi pembuatan melalui automasi, teknologi pintar dan kecerdasan buatan.
  • Penggunaan mesin moden kurangkan kos operasi, tingkatkan produktiviti dan menjadikan produk tempatan lebih sesuai untuk dieksport.
  • Pameran antarabangsa di MITEC mempamerkan peserta asing, fokus makanan halal, zon AI 4.0 dan peluang pendedahan teknologi untuk PKS.

Penggunaan mesin moden mampu membantu industri mengurangkan kos operasi serta meningkatkan produktiviti pengeluaran dalam jangka panjang, menurut Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor.

“Penggunakan mesin moden ini membolehkan produk tempatan lebih tersedia untuk dieksport, sekali gus memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Dari segi pelabelan, reka bentuk dan pembungkusan juga akan menjadi lebih menarik serta lebih maju. Apabila produk nampak lebih berkualiti dan moden, barulah lebih mudah untuk menembusi pasaran eksport,” katanya pada sidang media bersempena MIMF ke-37 di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, ketika ini hanya kira-kira 15 hingga 20 peratus syarikat tempatan bersedia menembusi pasaran eksport dan jumlah itu disasar meningkat kepada 30 hingga 40 peratus menerusi pendedahan teknologi serta inovasi industri.

Lebih 10,000 peserta terdiri daripada wakil syarikat, pengilang dan pelabur dari dalam dan luar negara dijangka menghadiri acara berkenaan dengan kira-kira 70 peratus penyertaan melibatkan pempamer antarabangsa.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Vietnam, India dan Jerman.

“Kita tidak perlu lagi pergi ke luar negara seperti Jerman atau China kerana pemain industri dari negara terbabit hadir ke sini untuk memperkenalkan mesin canggih serta teknologi terkini.

“Saya juga menjemput industri kecil dan sederhana seluruh Malaysia hadir ke MITEC bagi melihat sendiri perkembangan teknologi moden yang dibawakan pada pameran kali ini,” katanya.

Pameran itu turut memberi tumpuan kepada teknologi pemprosesan dan pembungkusan makanan halal bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global selain memperluas peluang eksport ke pasaran ASEAN dan Asia Barat.

Selain forum pelaburan industri plastik antarabangsa, MIMF 2026 turut menampilkan Pameran Industri Berteknologi Tinggi, Siri Seminar Pakar Industri, Pelancaran Produk dan Teknologi Baharu serta Zon Pembuatan dan Industri Pintar AI 4.0.

MIMF 2026 yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 Julai ini menyediakan lebih 700 reruai melibatkan sektor plastik, acuan dan peralatan (My-Plas), pembungkusan dan pemprosesan makanan (My-Pack Pro), teknologi percetakan dan pelabelan (My-Print & Labelling), teknologi pintar SMI dan AI (Smart Tech), peralatan bakeri (My-Bakery) serta papan tanda LED (LED-Light & Sign).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.