
CYBERJAYA , 17 Julai – Ekonomi Malaysia terus berkembang positif menerusi laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 yang menunjukkan pertumbuhan 5.8 peratus.
- Intervensi kerajaan meredakan kebimbangan terhadap aktiviti ekonomi dan mengukuhkan daya tahan ketika cabaran geopolitik.
- Pemantauan berterusan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara mingguan untuk respon pantas terhadap perkembangan semasa.
- Pelaksanaan langkah seperti memastikan bekalan minyak, mengurus harga dan melindungi sektor perindustrian; kerajaan kekal komited mengekalkan momentum.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan angka berkenaan lebih tinggi berbanding 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini, sekali gus membuktikan pertumbuhan positif dipacu menerusi pelbagai langkah intervensi kerajaan ketika berdepan cabaran geopolitik.
“Laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu memberi gambaran interversi yang dilaksana kerajaan dapat meredakan kebimbangan dari segi kegiatan ekonomi,”jelasnya pada sidang media selepas sesi Libat Urus Ekosistem Pemula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) : Suara, Visi dan Aspirasi.
Beliau turut menyatakan sejak tercetusnya konflik geopolitik, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan secara mingguan.
“Langkah intervensi yang sesuai diambil termasuk memastikan bekalan minyak negara tidak terjejas, mengurus harga agar tidak membebankan rakyat serta pelaksanaan intervensi bertujuan mengurangkan kesan terhadap sektor perindustrian,”katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak untuk tidak terlalu selesa dengan pertumbuhan KDNK suku kedua ini memandangkan konflik berkenaan belum menunjukkan tanda-tanda bakal berakhir.
“Kerajaan sedia mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi agar peluang serta manfaat dapat dinikmati bersama,”akuinya.