Gulfood 2026: Malaysia tonjol kekuatan industri F&B berasaskan inovasi

Foto gulfood.com

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Malaysia akan menampilkan inovasi makanan berfokuskan kesihatan serta produk mudah saji premium pada pameran makanan dan minuman (F&B) terbesar dunia, Gulfood 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pavilion Malaysia tonjolkan inovasi F&B berfokus kesihatan dan produk mudah saji premium di Gulfood 2026.
  • Penyertaan diketuai MATRADE bagi memperkukuh hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan mempelbagaikan pasaran eksport.
  • Malaysia manfaatkan peranan peneraju halal dunia untuk tawarkan produk bernilai tambah tinggi ke pasaran GCC.

Penyertaannya melibatkan lebih 120 pempamer tempatan diketuai Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pameran berlangsung dari 26 hingga 30 Januari 2026 di Dubai World Trade Centre dan Dubai Exhibition Centre itu menyaksikan Pavilion Malaysia mengetengahkan kekuatan industri F&B negara berasaskan inovasi sihat dan kemudahan premium.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Yusof,berkata, penyertaan Malaysia kali ke-22 ini merupakan langkah strategik bagi memperkukuh hubungan perdagangan dengan rantau Timur Tengah serta mempelbagai pasaran eksport negara.

“Malaysia bukan sekadar mempamerkan produk, sebaliknya menonjolkan keupayaan sebagai penyedia penyelesaian menyeluruh dalam rantaian bekalan F&B global,” katanya dalam satu kenyataan.

Seiring pertumbuhan pasaran halal global yang diunjurkan mencecah USD5 trilion menjelang 2030, Malaysia memanfaatkan peranannya sebagai peneraju halal dunia dengan menawarkan produk bernilai tambah tinggi untuk pasaran negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Antara tumpuan utama ialah produk mudah saji berkualiti tinggi, seperti sos dan pes premium serta makanan sedia dimakan (RTE) yang menggunakan teknologi pemprosesan terkini .

Pada 2025, perdagangan makanan diproses Malaysia ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) meningkat 4.2 peratus kepada RM2.52 bilion, mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk makanan halal negara.

Dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pintu masuk strategik, MATRADE menjangkakan Gulfood 2026 dapat menjana peluang eksport baharu serta memperkukuh kerjasama perniagaan antarabangsa.