Eksport Julai Malaysia meningkat 38.2 peratus

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Eksport Malaysia pada Julai 2026 meningkat RM53.5 bilion atau 38.2 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, dengan Pulau Pinang mencatat peningkatan tertinggi sebanyak RM40.4 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau Pinang kekal negeri pengeksport utama, menyumbang 48.4% daripada jumlah eksport Malaysia pada Julai 2026.
  • Johor dan Selangor turut menyumbang peningkatan eksport, masing-masing RM10.1 bilion dan RM3.7 bilion.
  • Jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2026 berjumlah RM364.7 bilion, dengan eksport RM193.6 bilion dan import RM171.1 bilion.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini berkata, peningkatan eksport turut didorong Johor sebanyak RM10.1 bilion dan Selangor RM3.7 bilion.

“Ia turut disumbangkan oleh Sarawak yang meningkat RM1.6 bilion, diikuti Perak, Kedah, Kuala Lumpur, Kelantan dan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama dengan menyumbang 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada Julai 2026, diikuti Johor sebanyak 19.1 peratus dan Selangor 14.7 peratus.

Ketiga-tiga negeri berkenaan menyumbang 79.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada bulan berkenaan.

“Jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2026 berjumlah RM364.7 bilion, dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM193.6 bilion dan RM171.1 bilion.

“Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport utama, menyumbang 48.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, diikuti oleh Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, eksport menurun di Perlis sebanyak RM31.1 juta, Melaka RM156.9 juta, Terengganu RM208.8 juta, Wilayah Persekutuan Labuan RM405.1 juta, Pahang RM1 bilion dan Sabah RM1.9 bilion.

Menurut DOSM, Pulau Pinang turut merekodkan bahagian terbesar import Malaysia iaitu 30.0 peratus, diikuti Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Kedah.

“Pulau Pinang merekodkan peningkatan import tertinggi sebanyak RM21.8 bilion, diikuti Selangor RM7.8 bilion serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor masing-masing RM7.3 bilion,” katanya.

Import Malaysia meningkat RM45.7 bilion atau 36.4 peratus berbanding Julai 2025.

Peningkatan import turut dicatatkan di Kedah sebanyak RM1.5 bilion, Sarawak RM810.2 juta, Pahang RM789.5 juta, Negeri Sembilan RM594.3 juta, Sabah RM268.5 juta, Perak RM180.3 juta dan Wilayah Persekutuan Labuan RM145.6 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.