Digitalisasi pacu produktiviti, kurang kebergantungan pekerja asing

Ahmad Farrin Mokhtar

KUALA LUMPUR, 2 September – Transformasi digital dan penerapan teknologi baharu semakin penting dalam industri pembinaan bagi meningkatkan produktiviti, selain mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi seperti AI, BIM dan robotik diterapkan untuk meningkatkan kecekapan sektor pembinaan.
  • Robot digunakan untuk kerja mengecat, mencapai produktiviti kira-kira 4,000 meter persegi sehari.
  • Teknologi baharu tidak turunkan kos segera; penjimatan dijangka berlaku jangka panjang melalui peningkatan produktiviti.
  • Menyokong dasar RMK13; sasaran pengurangan pekerja asing 10% atau sekitar 60,000 pekerja setahun menerusi penggunaan teknologi.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ahmad Farrin Mokhtar berkata, penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan robotik mampu mempertingkatkan kecekapan sektor berkenaan.

“Sebagai contoh, beberapa syarikat di Malaysia sudah menggunakan robot untuk kerja mengecat, dengan kadar produktiviti sehingga kira-kira 4,000 meter persegi sehari.

“Ini bermakna kira-kira 200 unit apartmen boleh disiapkan dalam sehari menggunakan satu robot. Bagaimanapun teknologi baharu tidak memberikan pengurangan kos serta-merta, sebaliknya dijangka dapat dikurangkan dalam jangka panjang menerusi peningkatan produktiviti.” katanya.

Penerapan teknologi itu juga bagi menyokong usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor pembinaan, selaras dengan dasar bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketika ini, kira-kira 600,000 pekerja asing berada dalam sektor pembinaan, dengan kerajaan menyasar pengurangan 10 peratus atau sekitar 60,000 pekerja setahun menerusi penggunaan teknologi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pra Pelancaran International Construction Week (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

ICW dan BuildXpo Malaysia 2026 akan berlangsung dari 10 hingga 12 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Penganjuran tahun ini menyasarkan penyertaan 250 pempamer dari 15 negara, 17,000 pengunjung perdagangan serta nilai transaksi perniagaan sehingga RM1.5 bilion.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.