
KUALA LUMPUR, 2 September – Zurich Malaysia menyifatkan inisiatif produk insurans dan takaful kesihatan baharu, (MediAsas) sebagai langkah positif dalam meningkatkan akses kepada perlindungan kesihatan yang lebih mampu milik khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
- Kerjasama antara Zurich, Bank Negara, kerajaan serta pengendali insurans dan takaful untuk menawarkan produk MediAsas.
- MediAsas dimasukkan dalam kerangka RESET sebagai reformasi pembiayaan kesihatan, dijangka dilancarkan Januari 2027.
- Inisiatif bertujuan tingkatkan keterangkuman perlindungan bagi rakyat mengharungi kos perubatan meningkat dan ketidaktentuan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata inisiatif berkenaan penting dalam menangani peningkatan kos perubatan yang semakin memberi tekanan kepada isi rumah.
“Kita semua maklum mengenai peningkatan kos, bukan sahaja kos insurans, malah kos perubatan turut meningkat. Justeru, Zurich memainkan peranan dengan bekerjasama bersama Bank Negara Malaysia dan kerajaan, selain syarikat insurans serta pengendali takaful lain dalam menawarkan produk ini.
“Kami melihatnya sebagai satu inisiatif yang sangat penting dan menyokong penuh pelaksanaannya. Kami berharap kadar pengambilan dan penyertaan terhadap produk MediAsas dapat terus meningkat, sekali gus memberikan nilai serta manfaat kepada rakyat.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran kempen jenama “Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna” di sini hari ini.
Mengulas mengenai permintaan produk takaful ketika ini, katanya peningkatan kos sara hidup dan tekanan inflasi dijangka terus mempengaruhi keutamaan rakyat Malaysia dalam mendapatkan perlindungan insurans dan takaful.
Jelas beliau, keadaan itu turut menyebabkan kebanyakan isi rumah semakin berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan khususnya ketika berdepan ketidaktentuan global dan peningkatan kos perubatan.
“Perlindungan sentiasa penting, bukan kerana kita menjangka sesuatu akan berlaku tetapi kerana perkara yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya lagi.
Sebelum ini, kerajaan melancarkan inisiatif MediAsas di bawah kerangka RESET sebagai sebahagian daripada reformasi struktur pembiayaan kesihatan negara.
Inisiatif itu dijangka dilancarkan pada Januari 2027 sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan tanpa dibebani peningkatan kos rawatan.