
PETALING JAYA, 15 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal membentangkan Rancangan Perniagaan 2027 bernilai RM257 juta pada Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026) melibatkan beberapa projek strategik bagi memperkukuh ekosistem koperasi negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pelaburan itu memberi tumpuan kepada dua inisiatif utama iaitu penglibatan dalam bank digital dan usaha menghidupkan semula projek bandar koperasi di Johor, Co-op City.
“Projek ini penting untuk memantapkan kedudukan ANGKASA dan koperasi sebagai asas bagi merebut peluang pada masa depan di peringkat negara, ASEAN dan antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, ANGKASA kini bersedia untuk terlibat dalam operasi bank digital selepas mendapat kelulusan dasar daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam perkembangan sama, ANGKASA turut akan mengambil alih projek Co-op City di Bandar Penawar, Johor yang terbengkalai hampir sedekad akibat beberapa kekangan termasuk isu premium tanah.
Katanya, projek berkenaan akan disusun semula bagi memastikan penglibatan koperasi secara menyeluruh, merangkumi aspek pembinaan sehingga pengurusan hartanah.
Dalam pada itu, Datuk Seri Abdul Fattah memaklumkan ANGKASA telah mengemukakan resolusi kepada kerajaan untuk mempertimbangkan peningkatan peruntukan pembangunan sektor koperasi kepada RM500 juta dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memperkukuh sumbangan sektor koperasi yang mempunyai kira-kira 7.3 juta anggota dalam pembangunan sosioekonomi negara.
MAPA 2026 akan berlangsung secara hibrid menerusi aplikasi Zoom Meeting dengan pusat siaran di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.
Mesyuarat itu dijangka menghimpunkan 5,753 perwakilan koperasi daripada pelbagai sektor ekonomi bagi menilai pencapaian, membincangkan cabaran semasa serta menetapkan keutamaan gerakan koperasi negara.