YADIM panggil penggiat filem dan drama, bincang garis panduan kandungan

Foto RTM

KOTA BHARU, 24 September – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengadakan pertemuan bersama pemain industri filem dan drama tempatan seawal minggu depan bagi membincangkan keperluan menerapkan kesedaran serta tanggungjawab terhadap agama dalam penghasilan karya kreatif.

RINGKASAN BERITA AI
  • YADIM mahu membuka ruang dialog bersama penerbit dan pelakon agar karya mengambil kira tatanilai masyarakat setempat.
  • Penekanan kawalan aspek persembahan, kandungan dan bahasa supaya tidak memberi kesan negatif terhadap nilai masyarakat.
  • Muzakarah akan diadakan untuk memupuk kefahaman dan merangka garis panduan mengikut keadaan serta tempat sesuai masyarakat.
  • Program pembangunan bakat melibatkan 50 pelajar latihan penulisan skrip dan pengarahan tiga bulan, karya boleh diketengahkan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasan Bahrom berkata, pertemuan termasuk melibatkan penerbit dan pelakon itu juga bertujuan mewujudkan ruang dialog bersama penggiat industri agar karya yang dihasilkan mengambil kira tatanilai masyarakat setempat.

“Ia juga merangkumi kawalan terhadap aspek persembahan, kandungan dan bahasa yang digunakan agar tidak memberi kesan negatif terhadap nilai serta pemahaman masyarakat,” tegasnya.

“Kita kemudian mungkin mengadakan muzakarah supaya orang memahami dan kemungkinan garis panduan yang boleh kita buat mengikut keadaan serta tempat yang sesuai dengan masyarakat kita,” ujar beliau ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Program Dakwah Negara Peringkat Negeri Kelantan dan Perasmian Pejabat Baharu YADIM Kelantan di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Datuk Hasan berkata, YADIM meneruskan program pembangunan bakat industri kreatif melibatkan 50 pelajar bagi mengikuti latihan penulisan skrip dan pengarahan selama tiga bulan.

Jelas beliau, karya berunsur nilai agama dan tatanilai masyarakat yang dihasilkan peserta berpotensi diketengahkan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.