SHAH ALAM, 26 Februari – Program World #QuranHour berjaya mencapai capaian media sosial sebanyak 7.89 bilion dan melibatkan lebih daripada 10,000 lokasi di Malaysia serta 313 lokasi di luar negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, kejayaan program tersebut adalah hasil komitmen luar biasa daripada pihak media seperti RTM, Astro, TV Hijrah, TV9, serta sokongan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan perpustakaan awam yang telah membantu menyebarluaskan acara ini sejak awal.
Memasuki satu dekad penganjurannya tahun ini, World #QuranHour akan menampilkan tema Surah As-Saff.
"Tahun ini, kita akan membawakan Surah As-Saff yang bermaksud barisan. Mesej utama yang ingin disampaikan adalah tentang tasbih, yang menjadi penyelarasan kepada jiwa kita.
"Apabila kita bersama-sama mengagungkan Allah SWT, Insya-Allah kita akan bersatu", katanya.
"Dengan kerjasama media, kita berharap dapat membina kesatuan yang kukuh, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya kepada media semasa Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena World #QuranHour 2025.
World #QuranHour tahun ini akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, pada 25 Mac 2025, dari pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari.
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Menteri Agama Malaysia dan Indonesia, yang menekankan semangat kesatuan ummah sebagai asas dalam menghadapi cabaran dunia.
Walaupun Surah As-Saff hanya mengandungi 14 ayat, ia diharapkan dapat membentuk jiwa dan pemikiran umat Islam ke arah perancangan yang lebih baik.