WCE jangka lebih 150,000 kenderaan pada Hari Kebangsaan, cuti persekolahan

Foto Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE)

KLANG, 28 Ogos – Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan musim cuti persekolahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancang perjalanan awal dan elakkan waktu puncak terutama lewat petang hingga malam.
  • WCE meningkatkan kesiapsiagaan dengan rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan 24 jam.
  • Gunakan WCE App untuk navigasi dan maklumat trafik masa nyata termasuk paparan CCTV.
  • Pastikan kenderaan baik, baki Touch 'n Go atau e-dompet mencukupi, rehat secukupnya; hubungi WCE Infoline jika kecemasan.

Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd Naguib dlaam kenyataan memaklumkan, peningkatan trafik dijangka susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan rentas negeri khususnya melibatkan perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi lain di Selangor dan Perak.

“Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mengelakkan waktu puncak, terutama dari lewat petang hingga malam.

“WCE meningkatkan kesiapsiagaan operasi menerusi rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Pemantauan keadaan trafik juga dilaksanakan secara berterusan di sepanjang jajaran lebuh raya yang telah dibuka.

Pengguna digalakkan menggunakan aplikasi WCE App bagi mendapatkan panduan navigasi dan maklumat trafik masa nyata, termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam pada itu, pengguna diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet yang mencukupi serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

Penunggang motosikal pula dinasihatkan supaya tidak menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan perjalanan kerana kemudahan itu dikhaskan untuk operasi menyelamat dan pengurusan insiden.

Untuk bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi WCE Infoline yang beroperasi 24 jam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.